Thursday, April 1, 2010

Jika Itu Takdir-Nya

Iskandar menghempas pintu bilik sekuat hati. Biar papa tahu. Biar mama tahu. Biar semua orang tahu Iskandar memprotes keputusan papanya. Iskandar berteleku di birai katil. Tangan sasa Iskandar jatuh di kepala. Di ruang tamu papanya masih membebel. Entah apa biji butirnya Iskandar pun tak tahu. Darahnya terasa panas. Maruahnya sebagai lelaki seakan tercabar. Selama ini, memang dia menurut setiap kata papa dan mama. Tetapi, bila jodohnya juga papa yang ingin tentukan, Iskandar rasa itu sudah melampau. Sebagai seorang anak, Iskandar juga berhak memilih jodohnya sendiri. Masih terngiang-ngiang suara garau papa di telinga Iskandar sebentar tadi.

"Setuju atau tidak, Along tetap akan dijodohkan dengan Hanis. Minggu depan dia akan pulang dari New Zealand. Dia akan tinggal di sini buat sementara waktu. Papa mahu semua orang di dalam rumah ini melayan dia dengan baik. Terutamanya Along. Lagipun dia bakal isteri kamu."

" Tapi, papa..."

" Tak ada tapi-tapinya lagi. Keputusan papa muktamad."

Belum sempat Iskandar menghabiskan ayat, papa terlebih dahulu menoktahkannya. Iskandar meninggalkan ruang tamu tanpa meminta kebenaran. Iskandar kecewa. Lebih-lebih lagi pada mama yang hanya menjadi pendengar setia. Bagaimana dengan Shafeeqah? Gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu? Gadis yang telah terlanjur dicintainya? Setiap hari, hanya layar siber yang menjadi bahan antara mereka berdua. Sesekali ada juga berbalas panggilan. Tak cukup dengan itu, surat pula pengganti diri. Cuma wajah Shafeeqah yang masih belum ditatapnya. Shafeeqah sering menolak setiap kali diajak berjumpa. Malahan, gambarnya juga sudah jenuh diminta Iskandar.

Namun, Iskandar akur dengan kehendak Shafeeqah. Selagi dia dan Shafeeqah masih setia antara satu sama lain, itu sudah mencukupi. Bagi Iskandar, Shafeeqah adalah segala-galanya. Shafeeqahlah pengubat jiwanya. Shafeeqah jugalah yang dipahatkan di dasar hatinya sebagai suri hidupnya nanti.

Hari yang paling Iskandar benci tiba jua. Hanis akan tiba petang ini. Sengaja dia melewatkan kepulangannya dari pejabat. Selama seminggu ini, dia bagaikan orang asing di rumah sendiri. Sengaja dia mengelak untuk makan bersama papa, mama dan adik bongsunya, Hezriq. Dia lebih selesa makan bersama Mak Jah di dapur. Itu pun selepas papa dan mama masuk ke bilik. Baginya, hanya orang gaji yang sudah hampir dua puluh tahun berkhidmat dengan keluarganya itu saja yang memahami hatinya. Mak Jah umpama ibunya juga. Tempat untuknya mencurahkan perasaan selain dari Shafeeqah. Sewaktu Iskandar pulang dari pejabat petang itu, ruang tamu rumah banglo itu riuh rendah dengan suara orang berbual. Iskandar melangkah masuk dengan wajah yang mencuka.

"Haa...itu pun Along dah balik!" Iskandar mengangkat muka. Adik keduanya, Damia yang masih menuntut di UIA turut ada di situ. Damia tersenyum penuh makna pada Iskandar. Iskandar semakin meluat. Istimewa sangatkah perempuan itu hinggakan semua orang bagaikan ternanti-nanti kehadirannya?

"Along, inilah Hanis" mama pula memperkenalkan gadis itu. Gadis yang membelakangkannya itu berpaling. Senyuman nipis menghiasi wajah Hanis yang ayu bertudung. Iskandar memandang sepintas lalu. Amat benci dia memandang wajah itu. Iskandar meneruskan langkah menaiki tangga menuju ke bilik. Dia berhenti di anak tangga yang terakhir. Iskandar memasang telinga.

" Degil!" Terdengar suara papanya bergema.

" Tak apalah, Uncle. Dia letih agaknya." Suara lembut Hanis bagaikan jarum mencucuk ke telinga Iskandar. Iskandar mencebik sedikit.

"Tunjuk baik konon. Entah-entah pakai tudung tu pun berlakon aje. Kat New Zealand tu entah berapa ramai lelaki yang dah jadi mangsa," getus hati Iskandar. Iskandar mempercepatkan langkah ke bilik.

Malam itu, Iskandar masih menunjukkan protesnya. Dia enggan makan semeja dengan Hanis. Dia membatukan diri di dalam bilik. Matanya masih terpaku di skrin komputer. E-mail Shafeeqah berulang-ulang kali dibacanya. Shafeeqah akan ke luar negara? Ke mana? Iskandar mulai risau. Tambahan pula, tempat yang akan dikunjungi Shafeeqah nanti amat terhad jaringan sibernya. Janji Shafeeqah untuk mengutuskan surat serba sedikit melegakan hati Iskandar.

Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Perut Iskandar mulai berkeroncong. Sejak pulang dari pejabat tadi dia tidak menjamah sebarang makanan. Perlahan-lahan Iskandar mengintai keluar dari bilik. Suasana sunyi menyelubungi rumah banglo dua tingkat itu. Iskandar melangkah menuju ke dapur dengan harapan dapat berbual-bual dengan Mak Jah sambil menikmati makan malamnya yang agak lewat.

Langkah Iskandar terhenti tiba-tiba. Di dapur kedengaran suara berbual-bual. Dari sebalik pintu dapur dia mengintai. Mak Jah, Damia dan Hanis sedang seronok bergelak ketawa. Aik!! Adiknya Hezriq juga ada di situ? Hanis asyik bercerita. Yang lain asyik pula mendengarnya. Hati Iskandar bertambah sakit. Rasa lapar yang menggila sebentar tadi terus hilang. Nampaknya gadis berkulit putih itu memang pandai menyesuaikan diri. Iskandar menanam tekad. Perempuan itu tidak sepatutnya berada di sini. Perempuan itu tidak sepatutnya disukai. Perempuan itu juga tidak sepatutnya gembira tinggal di sini! Perlahan-lahan Iskandar naik ke bilik dengan hati yang membara.

******************************************************************

Hanis merenung huruf-huruf yang tersusun rapi. Surat dari Mama Sally baru diterimanya sebentar tadi. Mama Sally bertanyakan keadaannya di Malaysia. Mama Sally takut dia tidak biasa dengan makanan dan cuaca di Malaysia. Yang lebih Mama Sally risaukan adalah kesihatannya. Panjang berjela pesanan mama Sally di dalam surat itu.

Hanis tersenyum sedikit. Mama Sally, perempuan Inggeris yang telah lima belas tahun menerima ajaran Islam itu tidak pernah melayaninya sebagai anak tiri. Bagi Mama Sally, hanya Hanislah anaknya dunia dan akhirat. Tambahan pula, perkongsian hidupnya dengan papa tidak dikurniakan cahaya mata. Keluhan kecil lahir dari bibir Hanis. Sememangnya kedatangannya ke sini membawa hajat papa. Malahan hajatnya juga. Tapi, dia tidak pernah menduga akan menerima layanan sebegini dari Iskandar. Ya! Hanya Iskandar yang tidak melayaninya seperti manusia. Lelaki yang di harapkan dapat meringankan beban yang ditanggung itu pula semakin menjadi beban di fikirannya.

Selama seminggu dia di situ tidak sekali pun Iskandar menegurnya. Malahan, pandangan mata Iskandar juga melemparkan benci. Kata-kata Iskandar secara langsung atau tidak, sering membuatkan matanya digenangi air. Tingkah laku Iskandar memang sangat-sangat mempamerkan yang kedatangannya ke sini tidak disenangi. Hari pertama dia di bumi Malaysia ini telah pun membuktikannya. Iskandar langsung tidak keluar dari bilik sejak pulang dari pejabat petang itu. Nasib baiklah Mak Jah, Damia dan Hezriq tidak bersikap seperti Iskandar. Belum pun seminggu dia berada di situ, Iskandar telah berani mempersendakan sikapnya yang tidak sekalipun menanggalkan tudung.

"Mak Jah, zaman siber ni orang perempuan kalau bertudung sebab nak ikut fesyen. Tambahan lagi kalau tinggal kat bandar-bandar besar macam KL ni." Hanis yang sedang mencuci pinggan tersentak. Iskandar yang sedang duduk meneguk air di dapur dikerlingnya sekilas. Mak Jah terpinga-pinga.

"Along cakap apa ni? Mak Jah tak faham."

"Orang pakai tudung bila nak keluar rumah je, Mak Jah. Tapi, kalau dah dalam rumah pun pakai tudung jugak, nak tunjuk alimlah namanya tu." Iskandar bangun meniggalkan Mak Jah yang masih lagi terpinga-pinga. Hanis hanya tertunduk.

Alangkah jahilnya Iskandar. Salahkan dia memenuhi tuntutan agama itu? Bukankah menutup aurat bagi seorang perempuan itu wajib? Bukankah di rumah itu dipenuhi dengan lelaki yang bukan muhrimnya? Dia langsung tidak mempunyai pertalian saudara dengan keluarga itu. Uncle Johan hanyalah sahabat baik papa. Salahkah dia? Dia akui memang hatinya sedikit terusik dengan kata-kata Iskandar. Biarkanlah! Iskandar akan mengerti jua nanti.

Selama dia di rumah itu, bukan tidak pernah dia cuba untuk berbaik-baik dengan Iskandar. Tetapi, Iskandar yang berterusan menunjukkan rasa tidak senangnya pada Hanis. Apa saja yang dimasaknya tidak akan dijamah Iskandar. Malah, Iskandar berani membuang bubur kacang yang dimasaknya bersama Mak Jah.

"Sedap bubur ni, Mak Jah!" Iskandar bersuara.

Hanis yang ingin melangkah ke dapur berhenti serta merta. Dia tercegat di balik pintu dapur. Dia tahu, Iskandar tidak akan makan kalau dia ada di situ.

"Haa...mestilah sedap! Hanis yang masak," Mak Jah menjawab dalam senyum. Dijelingnya Iskandar sekilas. Sengaja dia ingin melihat reaksi anak muda itu. Iskandar berhenti menghirup bubur kacang yang dimasak Hanis. Dia bangun membawa pinggan yang masih berisi bubur terus ke sinki. Alangkah terkejutnya Mak Jah apabila Iskandar terus mencurahkannya ke dalam sinki.

"Along!!"

"Mak Jah dah samak ke tangan perempuan tu? Mak Jah tau ke apa yang di makannya di New Zealand tu? Mak Jah tau ke apa yang di pegangnya di sana? Baik Mak Jah samak perempuan tu satu badan. Kalau tak, sampai mati pun Along tak kan makan kat rumah ni." Iskandar meluru keluar dari dapur. Hampir-hampir sahaja dia terlanggar Hanis yang masih tercegat di pintu dapur. Iskandar terkejut. Dia tidak sangka Hanis ada di situ. Air mata Hanis bergenangan. Tak sanggup dia memandang wajah itu.

Hanis tersentak. Bahunya terasa disentuh orang. Cepat-cepat dia mengesat air matanya yang hampir menitis. Mak Jah melabuhkan punggung disebelahnya. Senyuman Mak Jah serba sedikit mengubat luka hatinya.

"Surat dari siapa?"

"Dari Mama Sally, Mak Jah!"

Mak Jah mengangguk sedikit. Gadis itu cukup manis dimatanya. Budi pekertinya tidak tertanding dek kebanyakan gadis. Bertahun-tahun berhijrah ke bumi orang kulit putih itu, nyata tidak juga menukarkan peribadi gadis ini. Tetapi, sikap Iskandar yang terus-terusan menunjukkan rasa tidak senangnya amat mendukacitakan Mak Jah. Tidak pernah Iskandar bersikap yang sedemikian rupa. Iskandar yang Mak Jah kenal dahulu amat berbeza dengan Iskandar yang sekarang ini.

"Hanis suka tinggal di sini?" tanya Mak Jah. Sengaja dia memancing perbualan dengan Hanis.

"Suka!"

"Walaupun Along tak melayan Hanis dengan baik?" Riak wajah Hanis berubah seketika. Kemudian dia kembali tersenyum. Bahu wanita separuh abad itu dipautnya. Diciumnya pipi wanita itu berkali-kali seperti yang sering dilakukannya pada Mama Sally.

"Walaupun Along tak melayan Hanis dengan baik, sudah memadai dengan adanya Mak Jah di sisi Hanis." Pipi wanita itu diciumnya lagi. Mak Jah tertawa kecil. Pandai sungguh gadis itu menyembunyikan rasa hatinya. Hidung Hanis yang mancung di picitnya. Akhirnya hasrat Mak Jah untuk mencungkil rasa hati Hanis tidak kesampaian tapi disudahi pula dengan adegan usik-mengusik.

******************************************************************

Iskandar memerhati adegan usik-mengusik antara Hanis dan Mak Jah dari tingkap biliknya. Hatinya membara lagi. Mak Jah pun dah termakan segala kepura-puraan Hanis. Dia tahu, kebanyakan gadis yang telah berhijrah ke negara penjajah tidak menjadikan budaya timur sebagai budayanya lagi. Lihat saja sepupunya Ayu. Lima tahun menuntut ilmu di US, pulangnya sudah tidak seperti Melayu lagi. Dengan rambutnya yang diwarnakan perang dan matanya yang dah bertukar biru, cukup untuk membuatkan Auntie Rosnah pengsan menyambut kepulangan anak perempuan kesayangannya itu. Namanya juga turut ditukar menjadi Alice. Yang lebih menyedihkan, Ayu lebih mengenali Beer dan Shandy daripada cendol dan sirap.

Iskandar hairan! Hanis seakan tidak terusik dengan segala apa yang telah dilakukannya. Sudah acap kali kata-kata yang menyakitkan hati dilemparkan pada Hanis. Itu belum lagi dengan segala tindakannya. Entah berapa kali lauk yang di masak Hanis menyembah tanah. Kalau Hanis menonton TV bersama adiknya Hezriq, sengaja dialihnya ke rangkaian lain. Malahan, suaranya juga turut dikuatkan. Adiknya akan marah-marah padanya. Hanis pula akan terus masuk ke dalam bilik.

Dia sering kali mencari peluang untuk menyakiti hati gadis itu. Tujuannya supaya Hanis menolak hasrat papa. Kalau Hanis sendiri sudah menolak, papa sudah tidak boleh memaksanya lagi. Dia akui Hanis memang cantik. Bukan hanya luaran, malahan budi bahasanya juga. Tapi, hatinya bukan pada gadis itu. Hanya Shafeeqah yang bertakhta di hatinya. Hanya Damia yang tahu bagaimana kasihnya dia pada Shafeeqah. Tidak Mak Jah, mama, apatah lagi papa.

Shafeeqah..! Sudah hampir sebulan dia tidak mendengar khabar berita dari gadis itu. Jangankan surat, e-mel yang dihantarnya pun tidak di balas. Rindunya pada Shafeeqah sudah separuh mati. Hanya e-mel Shafeeqah yang terdahulu menjadi pengubat rindunya. Itulah yang dibaca berulangkali apabila rindunya pada Shafeeqah memuncak. Kenapa Hanis yang jadi pilihan papa?. Kenapa bukan Shafeeqah?.

******************************************************************

Hanis terbaring di atas katil. Matanya merenung siling yang berwarna kuning cair. Kosong! Tidak seperti fikirannya yang berserabut. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dipejamkan matanya seketika. Kemudian dibukanya semula. Dia buntu!.

Bagaimana harus dia berterus-terang dengan Iskandar? Sudah hampir sebulan dia di sini. Dia mahu Iskandar tahu cerita sebenar. Dia tak mahu Iskandar terus-terusan menyalahkannya. Tetapi, Iskandar bagai menutup terus talian silaturrahim yang ingin dibinanya. Bukan tidak pernah dia cuba untuk mendekati Iskandar, malah mendengar suaranya pun Iskandar tidak mahu. Inikan pula bertentang mata duduk berbincang bersama. Apa saja yang dibuatnya serba tak kena di mata Iskandar. Apakah sudah tertutup pintu hati Iskandar untuk mendengar penjelasan dari insan bernama Hanis ini?.

Hanis bangun lalu duduk di birai katil. Dia sudah nekad. Dia tidak boleh tinggal di situ selagi Iskandar tidak mengetahui segala apa yang tersirat di hatinya. Perlahan-lahan pintu bilik dibukanya. Dengan langkah penuh yakin dia menuju ke bilik Iskandar. Apa nak jadi, jadilah! Dia nekad. Sampai di hadapan pintu bilik Iskandar dia menarik nafas panjang.

Tok! Tok! Tok!

Tiada jawapan. Sekali lagi pintu bilik Iskandar diketuk. Akhirnya pintu terbuka. Iskandar menjelma dari balik pintu. Tiada segaris senyuman pun di bibir Iskandar. Hanis sendiri tidak mengharapkan apa-apa pun dari Iskandar.

"Saya nak cakap sikit dengan awak," Hanis memulakan bicara dengan suara yang sedikit bergetar.

"Nak cakap apa lagi? Tak puas-puas lagi dari kecik sampai besar asyik bercakap?" Iskandar masih lagi dengan sikap egonya.

"Iskandar, dengarlah dulu penjelasan saya ni. Berilah saya peluang untuk menerangkan keadaan sebenar."

"Penjelasan apa lagi?" Suara Iskandar semakin meninggi.

"Semuanya sudah jelas sekarang yang awak tu memang pemusnah kebahagiaan orang lain."

"Jangan tuduh sembarangan, Iskandar. Saya sendiri tidak minta ditemukan dengan awak. Apatah lagi mempunyai pertalian lebih dari itu."

"Baguslah kalau awak sedar siapa diri awak tu. Jangan ingat kedatangan awak ke sini akan mengubah pendirian saya. Tidak sekali-kali! Perempuan jalang macam awak ni tak layak untuk menjejakkan kaki ke rumah ini. Hentikan kepura-puraan awak dan baliklah semula ke New Zealand! Katakan pada bapa awak yang sampai mati pun dia tidak akan berbesan dengan papa saya. Tempat awak bukan di sini!"

Kata-kata Along bagaikan halilintar memecah ke telinga Hanis. Dia sudah tidak mampu mendengarnya lagi. Kepalanya kembali berdenyut-denyut. Perlahan-lahan dia berundur dan terus berlari ke biliknya semula. Kini jelaslah yang Iskandar tetap tidak akan mendengar penjelasan darinya walau apa pun yang terjadi.

******************************************************************

Hati Iskandar puas. Puas setelah apa yang terbuku di hatinya dapat dihamburkan pada Hanis. Dia yakin yang Hanis akan segera pulang ke New Zealand setelah mendengar apa yang dikatakannya. Dia tersenyum gembira. Cuti yang dipohonnya telah pun diluluskan. Dia akan bercuti ke Langkawi tanpa ada siapa pun yang mengetahuinya. Biarkan papa dan mama tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Sahabat baiknya Baddrol memang sudah lama mengharapkan kedatangannya ke bumi tumpah darah Mahsuri itu. Dan, dalam keadaan beginilah yang dirasakannya sesuai untuk dia mencari secebis ketenangan di sana.

Seminggu kemudian, Iskandar sampai semula ke KL ketika jam menunjukkan hampir pukul 8.00 malam. Suasana di rumah sunyi sepi. Dia agak terkejut apabila melihat semua ahli keluarganya sedang duduk di ruang tamu bagaikan menunggu kepulangannya. Damia juga turut ada di situ. Kesemuanya diam membatu.

"Assalammualaikum...!" Iskandar memberi salam lalu melangkah perlahan menuju ke ruang tamu. Tiada seorang pun yang menjawab salam yang dihulurkannya.

"Anak tak mengenang jasa!"

Pang! Papa yang kelihatan tenang tiba-tiba naik berang. Iskandar terkejut. Pipinya terasa perit yang teramat sangat. Cecair merah meleleh keluar dari hidung Iskandar.

"Sudahlah tu, bang!" Mama cuba mententeramkan papa.

"Kalau aku tahu begini caranya anak pungut ini membalas jasa, aku biarkan saja dia merempat di tepi jalan tu dulu. Biarkan dia tahu untung nasibnya tak berumah."

"Sudahlah! Perkara yang lepas jangan diungkit. Mari kita ke hospital sekarang. Nanti apa pulak kata Hadi. Anaknya sakit, kita di rumah bergaduh anak beranak." Mama gosok bahu papa berkali-kali.

Iskandar termanggu-manggu. Anak pungut? Dia anak pungut? Jadi... aku anak pungut? Kenapa selama ini dia tidak mengetahuinya? Mengapa mama dan papa merahsiakannya? Dia tersentak apabila terasa bahunya disentuh.

"Mari kita ke hospital. Dalam perjalanan nanti, Damia ceritakan apa yang terjadi selama Along tiada."

Iskandar hanya menurut. Papa, mama dan adiknya Hezriq hilang di dalam Honda CRV. Manakala, dia dan Damia mengekori kereta yang dipandu papa dengan Kembara biru kesayangannya.

Dua puluh lima tahun yang lalu, Johan hanyalah pemandu kereta sapu yang beroperasi secara haram. Seorang bayi ditinggalkan di dalam keretanya. Memandangkan dia masih belum mempunyai zuriat, lalu anak itu dipelihara tanpa mengira asal usulnya. Beberapa tahun kemudian, dengan bantuan modal dari sahabatnya Hadi, dia membuka perniagaan dengan menjual batu-bata yang dibuatnya sendiri. Perniagaannya semakin berkembang dan dia dikurniakan sepasang zuriat lagi. Sehinggalah perniagaannya mengalami kerugian dan Hadi jugalah yang menjadi penyelamatnya. Dan sekarang, Johan memiliki syarikat pembekal bahan binaan yang terkemuka di ibu kota. Sebab itulah Johan begitu terhutang budi dengan Hadi dan inginkan ikatan kekeluargaan dijalinkan. Hanis dan Iskandar dijadikan taruhan. Iskandar menolak sekeras-kerasnya tanpa mendengar penjelasan Hanis. Dia terlalu ingin memberitahu Iskandar bahawa dia tidak akan menerima sesiapa pun menjadi suaminya kerana....

"Kerana apa??" Iskandar tidak sabar untuk tahu. Dia menoleh ke arah Damia yang duduk disebelahnya seketika. Matanya tertumpu kembali ke jalanraya.

"Dia menderita barah otak, Along." Mata Damia mula berkaca. Iskandar menelan air liur. Terasa kelat dan berpasir.

"Kerana lambat dikesan, tumornya semakin membesar dan tidak boleh diselamatkan lagi. Selama ini, hal itu disembunyikan dari kita sekeluarga. Dia datang ke sini dengan persetujuan Uncle Hadi untuk memberitahu kita hal yang sebenar. Hidupnya hanya bergantung pada ubat-ubatan dan dia menanti saat-saat akhir hidupnya."

Damia menarik nafas panjang. Air matanya yang ingin menitis diseka dengan jarinya.

"Kak Hanis ditemui pengsan di hari kehilangan Along. Kata Mak Jah, dia terdengar Along dan Kak Hanis bertengkar malam itu. Along hina dia walhal Along tak tahu keadaan sebenar. Along langsung tak mahu dengar segala apa yang ingin dikatakannya. Mengapa begitu tingginya ego, Along? Mengapa?" Damia mula teresak-esak.

Sesalan mula berputik didada Iskandar. "Along begitu mengagung-agungkan Shafeeqah. Segala-galanya adalah Shafeeqah bagi Along. Tapi, pernahkah Along lihat wajahnya? Pernahkah Along melihat budi pekertinya?"

Pertanyaan Damia dibiarkan sepi. Iskandar melayan fikirannya sendiri. Suasana sepi berlarutan hingga Kembaranya membelok ke perkarangan hospital yang lengang. Sebelum turun dari Kembara, sempat Damia bersuara

"Untuk pengetahuan Along, Shafeeqah adalah Kak Hanis dan Kak Hanis adalah Shafeeqah. Mereka orang yang sama. Hanis Shafeeqah Binti Mohamad Hadi, itu nama Kak Hanis."

Kata-kata Damia bagaikan petir membelah dunia Iskandar. Kekesalan datang bertimpa-timpa. Lemah segala sendi-sendinya. Fikirannya melayang-layang. Entah bila dia mengekori langkah Damia masuk ke dalam hospital, dia pun tidak sedar.

Papa dan mama kelihatan bersalam-salaman dengan seorang lelaki yang hampir sebaya dengan papa. Seorang perempuan Inggeris lengkap bertudung berdiri di sebelahnya. Dia tersenyum apabila melihat Iskandar dan Damia sampai di hadapan wad.

"Feqa banyak bercerita pasal awak," kata perempuan Inggeris itu dalam Bahasa Melayunya yang agak baik. "Pergilah jumpa dengan dia. Tapi, dia sudah tidak kenal sesiapa lagi."

Iskandar menolak perlahan pintu bilik yang tertutup rapat. Sekujur tubuh yang begitu dikenalinya terbaring kaku. Mak Jah yang sedang membaca surah Yassin mengangkat muka memandang Iskandar. Surah Yassin ditutup dan Mak Jah keluar tanpa berkata apa-apa.

Jantung Iskandar bagaikan mahu luruh melihat keadaan Hanis Shafeeqah. Pucat dan tidak bermaya. Bibirnya kering dan mengelupas. Hanis sudah tidak bertudung lagi. Rambutnya pula boleh dikira dengan jari. Perlahan-lahan Iskandar duduk di atas kerusi yang dikosongkan Mak Jah. Tangan gadis itu diraihnya. Begitu banyak yang ingin diucapkannya pada Hanis sehinggakan sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari bibirnya.

"Hanis...!" Iskandar bersuara.

Perlahan-lahan mata cengkung Hanis terbuka kemudian tertutup semula. Dadanya berombak lemah. Jari-jemari Hanis dikucupnya. Akhirnya air mata lelaki Iskandar gugur satu persatu. Iskandar menggenggam erat tangan Hanis yang semakin dingin.

******************************************************************

Mak Jah keluar dari bilik Iskandar. Damia yang ingin masuk ke bilik Iskandar hanya memandang Mak Jah. Mak Jah menggelengkan kepala. Makanan yang disediakan Mak Jah sedikit pun tidak dijamah Iskandar. Damia hanya memandang Mak Jah yang menatang dulang makanan menuruni tangga.

Damia masuk ke bilik Iskandar. Dia melabuhkan punggung di birai katil Iskandar. Iskandar masih lagi leka menghadap komputer. Iskandar begitu asyik menaip e-mel untuk Shafeeqah yang tak pernah berbalas sejak setahun lalu. Itulah aktiviti tetap Iskandar semenjak pemergian Hanis Shafeeqah ke pangkuan Ilahi. Kadang-kadang Iskandar marah-marah sendiri. Marahkan e-melnya yang tidak berbalas. Along hanya akan makan apabila benar-benar lapar.

"Eh...Damia!" Iskandar menyedari kehadiran Damia. “Damia, nanti kalau Kak Shafeeqah balas e-mail Along ni, kan...Along nak kata dengan dia yang dia tu cantik. Tak payahlah nak sorok-sorok dengan Along lagi. Lagi pun, Along dah tak marah dengan dia. Along.............," Iskandar terus bercerita tentang Hanis Shafeeqah. Iskandar akan terus bercerita tentang Hanis Shafeeqah. Tak pernah jemu!

Air mata Damia mengalir perlahan.

1 comment:

safiyyahosman said...

babe..syok gila crita u nih..adeh..